Ingat.

'Biar lambat asal selamat' Ingatlah orang tersayang. Bernilainya nyawa tiada galang gantinya.

Jejantas jadi 'perhiasan'


BEBERAPA individu melintas jalan raya tanpa menggunakan jejantas di bandar Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 7 Feb. - Perhiasan atau projek gajah putih?
Itulah persoalan mengenai kewujudan jejantas yang disediakan oleh kerajaan apabila sebahagian pengguna lalu lintas tidak memanfaatkan kemudahan tersebut untuk melintas jalan.
Sebahagian pengguna lalu lintas lebih suka mengambil jalan mudah dengan melintas menggunakan jalan raya walaupun risiko pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas adalah merbahaya dan boleh mengundang maut.

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membina jejantas di beberapa lokasi utama, selain menyediakan lampu isyarat untuk kemudahan orang ramai dengan satu tujuan iaitu membolehkan orang ramai melintas jalan raya yang sibuk dengan selamat.
Namun, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan tumpuan orang ramai di sekitar bandar ini mendapati tahap kesedaran orang ramai terhadap penggunaan jejantas masih terlalu rendah apabila kemudahan itu tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Bayangkan, dalam keadaan lalu lintas yang sesak dengan kenderaan yang bergerak agak laju, segelintir pejalan kaki 'berani mati' sanggup melintas jalan raya di bawah jejantas semata-mata malas memanjat anak tangga.
Tanpa mereka sedari, sikap malas dan sambil lewa itulah yang akan membawa penyesalan seumur hidup sedangkan sebarang kejadian tidak diingini boleh dielakkan awal-awal lagi.
Antara alasan yang diberikan dalam tinjauan rambang itu adalah jejantas terlalu jauh, malas hendak berjalan jauh, jejantas dibina terlalu tinggi dan jejantas tidak menghala ke tempat yang dituju.

Lebih menakutkan apabila ada antara mereka sanggup membawa bersama anak-anak melintas di bawah jejantas walaupun menyedari tindakan tersebut boleh mengundang padah.
Sebagai contoh, jejantas di Jalan Mahkota iaitu terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerap berlaku kemalangan yang melibatkan pejalan kaki dan seharusnya masyarakat mengambil iktibar dengan apa yang berlaku.

Ditambah pula, jalan raya di kawasan jejantas tersebut yang mempunyai laluan empat lorong menyukarkan pejalan kaki untuk melintas dan ia jelas menunjukkan mereka langsung tidak memikirkan keselamatan diri sendiri.
Adakalanya, pengguna jalan raya terpaksa membrek dan memperlahankan kenderaan semata-mata untuk memberi laluan kepada pejalan kaki melintas yang secara tidak langsung boleh menyebabkan berlaku kemalangan.
Dalam situasi lain, ada kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab bertindak membuka beberapa batang pagar besi yang dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertujuan menyekat orang ramai melintas di bawah jejantas tersebut.

Akibatnya, PBT menanggung kos kerugian tersebut dan keindahan bandar menjadi 'cacat' dengan pemandangan buruk sedemikian.
Walaupun PBT mengeluarkan arahan mengenakan kompaun sebanyak RM300 kepada mereka yang enggan menggunakan jejantas, ia sedikit pun tidak memberi kesan dan menyedarkan orang ramai.
Hanya segelintir daripada mereka yang memikirkan keselamatan dan berfikiran waras mematuhi peraturan tersebut.
Sikap negatif sedemikian seharusnya dielakkan kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan tetapi merupakan pembaziran wang kerajaan.
Situasi seperti itu menjadikan kemudahan jejantas yang dibina dengan kos tinggi itu tidak ubah seperti 'gajah putih'.
Pihak berkuasa seharusnya lebih tegas menangani masalah berikut dan menyelenggara keadaan jejantas tersebut supaya sentiasa berkeadaan baik.

Kegagalan pejalan kaki menggunakan jejantas mencerminkan mentaliti masyarakat terhadap kemudahan awam masih rendah dan mereka hanya akan mematuhi peraturan apabila pihak berkuasa membuat operasi di kawasan itu.
Walaupun keengganan menggunakan jejantas itu sudah menjadi seperti satu budaya di kalangan masyarakat tetapi pihak berkuasa masih perlu membendungnya daripada berlarutan.
Mungkin MPK perlu mewujudkan sebuah pondok bit di kawasan itu supaya dapat memantau keadaan secara berterusan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Dari sudut lain pula, ada penunggang motosikal mengambil jalan pintas dengan menggunakan jejantas untuk menyeberangi jalan bersama-sama dengan pejalan kaki.
Ini boleh mengundang insiden yang tidak diingini seperti kemalangan sesama penunggang atau pejalan kaki selain kejadian jenayah terutama samun dan cabul.

Sementara itu, seorang peniaga, Muzaruddin Ghazali, 41, berkata, dia terlalu kecewa dengan perkembangan tersebut, lebih-lebih lagi apabila berlakunya kemalangan di kawasan jejantas.
Apa yang lebih menyedihkan, katanya, perkara itu telah berlanjutan sejak sekian lama walaupun pihak penguat kuasa mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun kepada mereka yang berdegil.

"Saya kesal kerana pernah terlihat ibu bapa memimpin anak-anak mereka melintas jalan di bawah jejantas. Pada waktu itu, keadaan trafik agak sesak dan saya lihat ada kenderaan yang terpaksa memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan kepada keluarga terbabit.
"Saya berharap pihak berkuasa ambil perhatian terhadap masalah ini dan saya cadangkan kepada PBT agar dapat melakukan sesuatu serta perubahan untuk menarik perhatian orang ramai menggunakan jejantas seperti menyediakan hiasan sepanjang laluan jejantas itu," ujarnya.

Bagi Rosmawati Sulong, 42, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan laluan jejantas bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk melintas jalan raya dengan lebih selamat dan tidak membahayakan nyawa.
Bagaimanapun katanya, keadaan berlaku sebaliknya apabila orang ramai memandang jejantas itu adalah satu perkara yang menyusahkan mereka apabila terpaksa memanjat anak-anak tangga yang memenatkan mereka.
"Bagi saya tindakan kompaun sudah cukup untuk mengajar mereka. Kita tidak mahu kemudahan ini hanya menjadi projek gajah putih walhal ia sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai,'' katanya.
Seorang pekerja swasta, Noor Abd. Rahman, 62, berkata, dia pernah hampir terlanggar sekumpulan remaja yang sedang melintas jalan di bawah jejantas.

"Sebagai pemandu kita pula yang terpaksa berhati-hati setiap kali melalui kawasan terbabit kerana tidak dapat menjangka orang akan melintas di situ," katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu mewujudkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut seperti mengadakan kempen bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan yang disediakan bagi menyelamatkan nyawa orang ramai.



Sumber penuh: Akhbar Utusan 

No comments: